Saturday, May 11, 2013

UMNO bukan parti rasis - PM



KUALA LUMPUR 12 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, UMNO bukan parti rasis kerana ia sentiasa memberi keadilan kepada rakyat tanpa mengira kaum di negara ini.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, sejak ditubuhkan 67 tahun lepas, UMNO menganggap bukan Melayu sebagai rakan kongsi dan akan tetap mempertahankan dasar yang sederhana, adil dan saksama kepada semua bangsa.

"Inilah formula terbaik UMNO (keadilan kepada semua), bukan formula keterlaluan untuk memancing undi tetapi pada akhirnya memusnahkan negara Malaysia yang tercinta.

"Kita tidak akan benarkan politik sedemikian... opportunistic politics (politik oportunis)...kita tak akan benarkan kerana akhirnya akan menghancurkan segala-galanya yang telah dibina UMNO dan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun UMNO ke-67 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam tadi.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor; Naib-naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Ketua Pergerakan Pemuda, Khairy Jamaluddin; Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; dan Ketua Pergerakan Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali serta presiden parti-parti komponen BN.

Najib berkata, jika bukan kerana isu perkauman yang dimainkan pakatan pembangkang, beliau percaya BN mampu memperoleh majoriti yang lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang berakhir Ahad lepas.

Pada PRU13, BN memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen dengan UMNO kekal sebagai tonggak gabungan itu apabila menyumbangkan 88 kerusi.

Perdana Menteri berkata, pencapaian UMNO pada pilihan raya umum kali ini adalah lebih baik berbanding 2008 meskipun diasak dan diserang pelbagai tohmahan serta fitnah daripada pembangkang.

"Tapi, pada akhirnya rakyat Malaysia telah membuat keputusan bahawa mereka ingin kepada kestabilan, kesinambungan dan ingin melihat agenda pembangunan dan transformasi yang dibawa BN diteruskan," katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, UMNO memenangi 79 kerusi Parlimen.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment