Friday, May 10, 2013

PERHIMPUNAN: POLIS AKAN PANGGIL SEMUA YANG BERKENAAN - ISMAIL OMAR



KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Polis akan memanggil semua yang berkenaan termasuk pemimpin parti politik bagi memberi keterangan berhubung perhimpunan haram di Stadium MBPJ di Kelana Jaya, Selangor, Rabu lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata siasatan dijalankan kerana perhimpunan itu diadakan tanpa kebenaran selain unsur-unsur lain yang menyalahi undang-undang.

"Siasatan sedang dijalankan dan tunggulah, kita akan ambil tindakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Perhimpunan haram yang disertai pemimpin parti pembangkang itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana ucapan berbaur hasutan dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana diadakan tanpa permit.

Perhimpunan itu bertujuan membantah keputusan pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei lalu yang didakwa parti pembangkang sebagai mempunyai unsur-unsur penipuan.

Mengulas lanjut, Ismail berkata proses pilihan raya umum itu berjalan mengikut amalan demokrasi.

 "Rakyat telah membuat keputusan jadi janganlah mana-mana pihak nak ambil kesempatan ini untuk lakukan sesuatu yang boleh mengeruhkan keadaan," katanya.

Ismail turut meminta semua lapisan masyarakat agar tidak bercakap, menulis atau mengeluarkan pandangan yang berbentuk negatif yang boleh merosakkan perpaduan.

"Janganlah cetuskan provokasi yang boleh merosakkan ketenteraman awam dan menakutkan orang ramai," katanya. -BERNAMA


No comments:

Post a Comment