JOHOR BAHRU: Sultan Johor tidak mahu ada lagi pihak yang terus menyebar fitnah dan hasutan berbau politik untuk menimbulkan kebencian antara rakyat dan menggugat perpaduan serta keamanan negara.
Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah waktu berkempen pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) telahpun tamat dan sekarang ini adalah masa untuk bekerja.
"Saya tidak mahu mendengar ada pihak yang terus menyebar fitnah dan hasutan berbau politik untuk menimbulkan kebencian antara rakyat dan menggugat perpaduan dan keamanan negara," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada majlis angkat sumpah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Permas, Datuk Mohamed Khaled Nordin sebagai Menteri Besar Johor yang baru di Dewan Undangan Negeri, Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di sini hari ini.
Turut sama mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor adalah sembilan ADUN daripada Barisan Nasional (BN) bagi jawatan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco). - BERNAMA
No comments:
Post a Comment