KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Limus Jury menyifatkan kabinet Persekutuan yang dibentuk pada Rabu sebagai gandingan mantap yang diyakini mampu memacu agenda transformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, barisan kabinet baru itu yang menyaksikan gabungan muka lama dan baru ialah yang terbaik untuk negara dalam mencapai Wawasan 2020.
Lebih penting, katanya, barisan kabinet itu mencerminkan semangat setia kawan dan perkongsian kuasa dalam komponen Barisan Nasional (BN).
"Saya cukup yakin bahawa barisan kabinet 2013 ini mampu menjadi penggerak kepada pencapaian visi menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi dalam tempoh yang tidak berapa lama lagi," katanya dalam kenyataan di sini, sebagai mengulas kabinet baru yang diumumkan perdana menteri, semalam.
Semua ahli jemaah menteri itu kemudian mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara,hari ini
Limus yang memenangi kerusi DUN Kuala Penyu dalam PRU13 baru-baru ini, turut menyatakan penghargaan kepada perdana menteri kerana membentuk barisan kabinet yang mencerminkan aspirasi rakyat, termasuk di Sabah dan Sarawak.
"Ini terbukti dengan pertambahan jumlah wakil dari Sabah dan Sarawak memegang jawatan menteri dan timbalan menteri dalam kabinet Persekutuan.
"Kami menghargai penghormatan yang diberikan perdana menteri ini, dan kami percaya ia mampu membawa kemajuan dan kesaksamaan kepada seluruh rakyat,"katanya.
Dalam konteks Sabah, Limus berkata, pertambahan jumlah menteri kepada enam orang dan empat timbalan menteri menunjukkan kerajaan pusat menghargai status Sabah sebagai `simpanan tetap' BN sejak dulu lagi.
"Sudah tentu 10 pemimpin Sabah yang dilantik ini mampu membawa suara dan harapan orang Sabah," katanya, sambil menambah kementerian yang diterajui mereka juga begitu relevan dan bersesuaian dengan keadaan negeri ini.
Enam pemimpin yang dilantik sebagai menteri ialah Datuk Seri Shafie Apdal, Datuk Seri Anifah Aman, Datuk Dr Maximus Ongkili, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Datuk Ewon Ebin dan Tan Sri Joseph Kurup.
Tiga timbalan menteri pula ialah Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Datuk Rahim Bakri, Datuk Azizah Mohd Dun dan Datuk Mary Yap. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment