PRU-13 sudah dua minggu berlalu dan BN yang kembali menerajui Kerajaan Pusat telah pun menamakan anggota kabinetnya, sementara setiap negeri baik yang dimenangi BN mahu pun pakatan pembangkang juga sudah selesai upacara angkat sumpah Menteri Besar dan Ketua Menteri.
Itu menandakan masing-masing samada dari pihak BN atau pun PR telah pun menerima keputusan PRU-13, sekali gus menutup suara sumbang segelintir pihak yang mempertikaikan ketelusan proses pilihan raya yang diuruskan oleh SPR.
Di sebalik semua itu, kini tibalah saatnya di mana pihak yang menang di kawasan masing-masing fokus untuk berkhidmat kepada rakyat yang memberi kepercayaan kepada mereka sementara pihak yang kalah pula daripada terus menyalahkan orang lain adalah lebih baik memperbaiki kelemahan sendiri.
Bila bercakap perihal kemenangan, kita tidak boleh menolak faktor dukungan penyokong sebagai ramuan penting kejayaan sesebuah parti politik. Oleh itu amat penting untuk mengekalkan kemenangan maka khidmat bakti perlu diutamakan dahulu kepada penyokong sendiri.
Lantaran itu, BN selaku pemenang PRU-13 yang diamanahkan untuk kembali menerajui Kerajaan Pusat serta menggalas tugas memerintah sebahagian besar negeri-negeri teramat perlu untuk berusaha sedaya mungkin memenuhi pengharapan para penyokongnya sepanjang lima tahun mendatang ini.
Biarkan sahaja kawasan yang dimenangi pakatan pembangkang diuruskan sendiri oleh wakilnya kerana itu yang majoriti pengundi di kawasan itu kehendaki. Namun dalam soal kebajikan dan khidmat asas sebagaimana peruntukan dalam Perlembagaan boleh saja diteruskan.
Dengan cara ini barulah para pengundi di sesebuah kawasan atau negeri dapat mengenal pasti sejauh mana kemampuan wakil yang dipilihnya.
Polisi BN selama ini memberi khidmat untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengambil kira siapa yang disokong oleh seseorang itu amatlah terpuji, tapi adakah ia dihargai oleh semua?
Dilihat pada keputusan PRU-13 yang lalu jelas menunjukkan masih ada sesetengah pengundi yang merasakan pemimpin pembangkang boleh memberi khidmat yang lebih baik untuk mereka meskipun realitinya hanya indah khabar dari rupa.
Justeru itu, apa lagi perlunya untuk BN mengekalkan polisi yang sama berkhidmat untuk semua?
Bukankah lebih baik BN melakukan sedikit anjakan paradigma dengan mengutamakan dulu khidmatnya di kawasan atau negeri-negeri yang dimenangi sebagai tanda penghargaan di atas sokongan yang diterima.
umno online
No comments:
Post a Comment