KUALA LUMPUR, 17 Mei – Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah melengkapkan teraju jentera pentadbirannya dengan pelantikan anggota kabinet dan mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Yang DiPertuan Agung bagi meneruskan kesinambungan pentadbiran negara ini sedangkan dalam masa yang sama ketua pembangkang masih bersikap tidak karuan.
Ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul menganggap tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih enggan mengiktiraf kemenangan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) adalah umpama ‘orang gila’.
“Apa lagi yang boleh kita katakan kepada beliau kerana sikapnya menunjukkan beliau dah gila nak jadi Perdana Menteri pada hal semua pihak sudah mengiktiraf kemenangan PRU13 berpihak kepada BN malah Presiden Amerika Syarikat sendiri pun dah nyatakan tahniah kepada Perdana Menteri kita.
“Kalau dah gila jawatan jangan pula cuba heret rakyat jadi gila seperti dia,” katanya kepada UMNO-Online.
Beliau yang memenangi kerusi Parlimen Pendang berjaya menafikan ‘kubu kuat Pas’ dengan mengalahkan Timbalan Presiden parti terbabit iaitu Mohamad Sabu dengan majoriti 2,638 undi.
“Apa tujuan Anwar Ibrahim enggan mengiktiraf kemenangan BN. Dah kalah, kalahlah… apa lagi? Adakah dengan mengadakan demonstrasi dan perhimpunan jalanan akan dapat menafikan kemenangan BN dalam PRU13?”
“PRU13 dilaksanakan dengan telus sebagaimana demokrasi berparlimen dijalankan. Ini keputusan demokrasi dan sesiapa saja mesti terima keputusan yang telah dibuat oleh rakyat,” tegasnya.
Katanya, jika benar berlaku penipuan dan penyelewengan dalam PRU13 sebagaimana yang didakwa oleh pembangkang maka mereka sepatutnya mengumpul sebanyak mungkin bukti dan melantik peguam terbaik dengan menggunakan saluran undang-undang untuk mengemukakan bantahan menerusi petisyen di mahkamah.
“Jika mereka berniat baik, sayangkan negara serta mahu mencabar keputusan PRU13 maka lakukan ikut saluran yang ada, kita lawan di mahkamah berdasarkan kepada bukti-bukti dan bukannya dengan mengheret rakyat dalam himpunan haram.”
Tegas beliau lagi, cara demokrasi yang sebenar adalah dengan mengikut saluran yang disediakan dan bukannya menghasut orang ramai terutama golongan muda turun ke jalanan dan berhimpun secara haram sebagaimana dimulakan di stadium di Kelana Jaya yang kemudiannya menular ke seleuruh negara, kononnya membantah keputusan PRU13.
“Rakyat dah jemu dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin pembangkang kerana masyarakat hari ini cintakan keamanan dan kesejahteraan.” – MediaUMNO
No comments:
Post a Comment